Fakta, Informasi
Setiap tahun, apabila Disember ditinggalkan, muncul
Januari yang menandakan bermulanya tahun baru. Semua ini sudah ditempuhi
manusia sejak beratus-ratus tahun lalu iaitu apabila kalendar pertama wujud.
Namun, masih ramai yang tidak tahu sejarah dan perkembangan
kalendar. Ini mungkin kerana topik ini bukanlah sesuatu yang penting untuk
diambil tahu, lebih-lebih lagi penetapan tarikh adalah perkara rutin dalam
kehidupan harian.
Namun, sebelum memahami mengenai kalendar atau takwim
ini, definisi kalendar itu perlu diketahui. Secara umumnya, kalendar atau
takwim adalah satu sistem pengiraan masa menggunakan hari dan bulan.
Tarikh sesuatu hari itu biasanya ditentukan
berpandukan kepada objek astronomi seperti matahari atau bulan. Takwim juga
adalah satu objek nyata yang menjelaskan sistem itu.
Takwim atau kalendar boleh dibahagikan mengikut objek
astronomi Kalendar Suria (Solar), Kalendar Qamari atau Lunar (Bulan) serta
Kalendar Lunisolar (bulan dan matahari).
Kalendar Suria adalah berpandukan matahari semata-mata,
iaitu mengikut perubahan musim. Contohnya, Kalendar Gregorian dan Kalendar
Julian.
Kalendar Lunar atau Qamari berpandukan bulan
semata-mata iaitu mengikut fasa bulan. Contohnya ialah Takwim Hijrah manakala
Kalendar Lunisolar pula mengikut kedua-dua bulan dan matahari – contohnya
Kalendar Cina.
Dilaporkan, kalendar pertama yang wujud di dunia ini
adalah kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi oleh masyarakat Mesir purba.
Orang-orang Mesir purba menggunakan kalendar dengan 12 bulan 30 hari, untuk
jumlah 360 hari untuk setiap tahun dicampur lima hari tambahan pada akhir
tahun. Manakala minggu bagi setiap bulan adalah tiga minggu sepuluh hari.
Penentuan kalendar Mesir ini berdasarkan kiraan tahun
solar iaitu 3,651/4 hari, namun tidak mempunyai hari lompat setiap empat tahun
untuk mengambil kira hari pecahan (cara yang kita lakukan sekarang dalam
kalendar Gregorian), mereka membiarkan hari satu perempat terkumpul.
Bermaksud, ada tahun yang mempunyai hari yang lebih
berbanding tahun yang lain mengikut pilihan mereka. Mereka tidak meletakkan
Hari Lompat pada bulan tertentu, sebaliknya dipilih dalam mana-mana bulan yang
disukai dengan syarat setiap empat tahun sekali.
Dalam sistem kalendar kini, hampir semua negara
mengikut kaedah sama iaitu merujuk kepada kalendar Gregorian yang diubah
berdasarkan kalendar Julian yang mana 97 tahun daripada setiap 400 tahun
menyelitkan 29 hari pada Februari.
Jika ditanya kaedah atau kalendar mana paling
sempurna, setiap satu mempunyai perbezaan mengikut saat, minit, jam atau hari.
Malah dikatakan Gregorian yang digunakan secara meluas memerlukan perubahan
dalam tempoh beberapa ratus tahun akan datang.
No comments:
Post a Comment