PENGENALAN
Ulamak
ilmu jarh wa ta'dil (penilaian keadilan perawi hadith) telah bersetuju
secara keseluruhannya bahawa fenomena pembohongan di kalangan syiah
adalah lebih menonjol dan ketara berbanding dengan kelompok-kelompok
yang lain. Kitab-kitab ilmu jarh wa ta'dil yang masyhur seperti
kitab-kitab Imam Bukhari, Ibnu 'Adi, Ibnu Mu'ien, Ad-Daruquthni dan
lain-lain penulisan mereka yang berikhtisaskan hal ehwal sanad
periwayatan, secara nyata membuat kesimpulan bahawa, pembohongan oleh
syiah adalah yang paling banyak di kalangan ahli qiblat. Bahkan muncul
pepatah yang berbunyi 'lebih pembohong dari rafidhi (syiah)' sebagai
mengisyaratkan kepada betapa seseorang itu sangat kuat berdusta.
Sebagai
contoh, Abu Muawiyah Ad-Dharir Al-Kufi berkata, aku telah mendengar
Al-A'masy menyebut, "...aku telah menemui orang ramai dan tidaklah
mereka menamakan syiah itu melainkan sebagai para pendusta." (lihat : Minhaj As-Sunnah
oleh Ibnu Taimiyah juzuk 1 ms. 16). Al-Khatib Al-Baghdadi juga pernah
meriwayatkan dengan sanad kepada Ibnu Al-Mubarak, beliau berkata, "Abu
'Ismah telah bertanya kepada Abu Hanifah : daripada siapakah kamu
memerintahkan aku supaya mendengar (untuk mengambil dan meriwayatkan
hadith)?" Abu Hanifah menjawab, "Daripada setiap mereka yang adil pada
hawa nafsunya melainkan syiah, kerana sesungguhnya usul aqidah mereka
adalah menghukum sesat para sahabat Muhammad SAW". (lihat : Al-Kifayah fi 'Ilmi Ar-Riwayah oleh Al-Khatib Al-Baghdadi ms. 203).
Bahkan
Hamad bin Salamah telah berkata, "telah berkata syeikh mereka (syiah)
bahawa: Sesungguhnya jika kami berkumpul, kami akan memperelokkan
satu-satu riwayat dan kemudian kami jadikan ia sebagai hadith!" (lihat: Minhaj As-Sunnah
oleh Ibnu Taimiyah juzuk 1 ms. 16). Selain itu, Yunus bin Abdul A'la
telah berkata, "Asyhab telah berkata: Imam Malik telah ditanya
pendapatnya mengenai syiah rafidhah". Imam Malik menjawab, "janganlah
kamu bercakap dengan mereka dan jangan meriwayatkan apa-apa dari mereka.
Sesungguhnya mereka itu adalah pendusta." (lihat: Al-Muntaqa
oleh Adz-Dzahabi, ms. 21). Harmalah juga pernah bekata, "aku mendengar
Imam Asy-Syafie berkata: aku tidak pernah melihat seseorang membuat
kesaksian palsu selain daripada syiah ar-rafidhah". (lihat : Al-Kifayah fi 'Ilmi Ar-Riwayah oleh Al-Khatib Al-Baghdadi ms. 202).
Lebih
jauh daripada itu, syiah telah menjadikan pendustaan sebagai syiar
mereka lalu diimejkan jenayah itu dengan imej keagamaan dengan
menamakannya sebagai 'Taqiyyah'. Misalnya mereka berkata, "Tiada iman
bagi sesiapa yang tidak bertaqiyyah" Kalam ini mereka nisbahkan kepada
Muhammad Al-Baqir sebagai pengkhianatan dan pencelaan ke atas Al-Baqir. (lihat: Al-Kafi fil Usul oleh Al-Kulaini, bab At-Taqiyyah juzuk 2 ms. 19).
Pembohongan
syiah bukan sahaja mendapat komentar oleh para ulamak hadith dan
lain-lainnya, bahkan turut diulas oleh Saidina Ali RA dan para Alul Bayt
sendiri. Misalnya, Abu Amr Al-Kasyi menyebut di dalam kitab Ar-Rijal,
"Abu Abdillah (iaitu Jaafar As-Sadiq) telah berkata: sesungguhnya kami
Alul Bayt adalah orang-orang yang benar, tetapi kami tidak bebas dari
terkena pendustaan ke atas kami. Lantas kebenaran kami telah gugur
disebabkan oleh pendustaan mereka ke atas kami di kalangan manusia.
Rasulullah SAW adalah sebenar-benar insan tetapi Musailamah telah
mendustainya, Amirul Mu'minin Ali bin Abi Thalib adalah orang benar
selepas Rasulullah SAW dengan kesaksian daripada Allah tetapi dia telah
didustakan oleh Abdullah bin Saba' -Laknatullah 'Alaih-. Manakala Abu
Abdillah Al-Husein bin Ali pula telah ditimpa bencana Al-Mukhtar
(Ats-Tsaqafi). ..Manakala Ali bin Al-Husein pula telah didustakan oleh
Abdullah bin Al-Harith Asy-Syami dan Bannan... begitu juga dengan
Al-Mughirah bin Said serta As-Sirriey dan Abu Al-Khattab..." Lantas
beliau menyambung, "... laknat Allah ke atas mereka semua, dan kami juga
tidak terlepas dari didustakan oleh pendusta. Cukuplah Allah (sebagai
pelindung kami) dari bencana sekalian pendusta, semoga Allah merasakan
ke atas mereka kepanasan besi yang terbakar". (lihat: Ar-Rijal oleh Al-Kasyi ms. 257).
Sesungguhnya
golongan syiah telah mencipta banyak hadith dan riwayat palsu yang
bertepatan dengan kehendak hawa nafsu mereka sebagaimana mereka mencipta
hadith palsu di dalam bab kelebihan Ali dan Alul Bayt. Mereka juga
mencipta banyak nas palsu untuk mencela pada sahabat RA khususnya Abu
Bakar RA dan Umar Al-Khattab RA. (lihat contohnya di dalam Syarh Nahjil Balaghah oleh Ibnu Abi Al-Haddad, juzuk 2 ms.135).
Syiah
juga mencipta hadith palsu untuk menghina Muawiyah RA. Satu contoh
mudah adalah hadith yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW kononnya
Baginda berkata, "jika kamu melihat Muawiyah di atas mimbarku, maka
bunuhlah dia" (lihat: Al-Alie' Al-Masnu'ah fi Al-Ahadith Al-Maudhu'ah
oleh As-Sayuti, juzuk 1 ms. 323) Bukan sahaja di dalam membahaskan
tentang Ali RA dan Muawiyah RA, bahkan syiah juga mencipta banyak
pembohongan terhadap para sahabat RA yang lain. Jika mereka berani untuk
mendustakan Nabi SAW maka seudah tentulah pembohongan ke atas selain
Baginda itu jauh lebih mudah bagi mereka.
No comments:
Post a Comment