Wahai anakku,
Engkau merungut berkata kamu gagal. Kamu berhujah kamu
gagal dibandingkan dengan sahabat kamu dari segala sudut. Kamu berkata
kamu malu dan tidak dapat menaikkan maruah aku dan bonda kerana
pencapaian akademik, limpahan harta, ketinggian pangkat, anugerah yang
bersusun-susun yang kurang daripada sahabat-sahabat kamu.
Wahai anakku,
Usah bersedih. Tidak berkerjaya bagus, berkereta canggih, berumah
besar, pemilikan segala macam gajet teknologi terbaru, memakai pakaian
mahal-mahal jenama bukanlah satu dosa. Usah mengeluh, wahai anakku,
kerana semua itu juga bukanlah pengukur kejayaan hidup di akhirat.
Simpanlah air matamu, kerana tidak memiliki itu semua bukan tanda
kegagalanmu dalam kehidupan. Namun kamu kena beringat, jangan pula kamu
terlalu bergembira jika satu hari kamu berjaya mendapat kesemua itu,
kerana itu adalah seberat-berat ujian Allah.
Wahai anakku,
Memang menjadi idaman semua untuk memiliki kenderaan yang mahal
berjenama. Tapi ,apa bagusnya memiliki kenderaan mahal berjenama jika
kamu menggunakannya untuk berkunjung ke tempat maksiat dan bukan ke
majlis ilmu, ibadah dan mencari nafkah halal untuk keluarga.
Bukan
sahaja ia tidak mendatangkan ketenangan kepada kamu, sebaliknya ia
menambah dosa kamu kerana nikmat Allah kamu salahgunakan. Lebih berkat
kalau berkenderaan biasa jika kamu erti menggunakannya ke arah kebaikan
dan mendekatkan diri dengan awal.
Begitu dengan rumah besar dan
selesa. Apa gunanya sekiranya kamu tidak mengerti menyuburkannya dengan
bacaan al-Quran, mengimarahkan ilmu dan memupuk kasih sayang antara
keluarga di dalamnya. Ingatlah, wahai anak kesayanganku, saiz rumahmu
tidak penting, yang penting ialah pengisian di dalam rumah kamu.
Wahai anakku,
Sekiranya kamu takut terlupa apa yang aku nasihatkan ini, kamu selalukan baca Surah Al-'Ankabuut ayat 64.
" Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan
dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain
hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat
itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui
(hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).
Sesungguhnya, wahai anakku, Allah telah menyatakan dengan jelas bahawa
dunia ini hanyalah sementara, akhirat barulah kehidupan yang
sebenar-benarnya. Jadi tak perlulah kamu berkecil hati dengan
pembandingan harta dunia antaramu dengan para sahabatmu.
Sebaliknya, wahai anakku, bandinglah kerja-kerja amal dan pahalamu
dengan sahabat-sahabatmu. Berlumbalah melihat berapa orang yang pernah
kamu bantu. Berlumbalah menghitung berapa kali yang kamu berjaya
menyenangkan orang yang susah. Berlumbalah kamu dari segi kerja amal.
Berlumbalah untuk mendapat keredhaan Allah. Dan berlumbalah berbuat baik
dengan niat terbaik supaya Allah menerima semua amalanmu.
Tanyalah dirimu, wahai anakku, siapakah juga di antara kamu yang tahu di
mana kedudukannya di sisi Allah berbanding semua makhlukNya yang lain?
Yang mampu menjamin bahawa kedudukannya lebih tinggi daripada si fulan,
si fulan yang selalu dipandangnya rendah itu?
Dua soalan itu akan membuatkan kamu merasa kerdilnya diri kamu di hadapan Ilahi. Kamu hanya mampu menunduk malu.
Wahai anakku,
Hidup kamu di dunia ini tidak sesekali dinilai melalui apa yang telah
kamu capai tetapi kerana siapa kamu berusaha untuk mencapai semua
cita-cita dan kejayaan tersebut.
Oleh itu, tanyalah diri wahai
anakku, apakah kejayaan yang engkau bangga-bangakan itu mendekatkan kamu
atau menjauhkan kamu dengan Allah?
Aku tidak bimbang kalau
engkau diuji dengan kesusahan, kerana manusia akan tunduk pada Allah
merayu-rayu berdoa untuk mencari penyelesaian. Aku lebih risau kalau
engkau diuji dengan kejayaan, kerana ramai alpa dengan kesenangan
sehingga terlupa siapa Tuhan mereka.
Janganlah kamu jadi orang
yang paling rugi di dunia ini. Hanya orang yang rugi yang
mengagung-agungkan semua kejayaannya yang bermatlamatkan dunia.
Perbetulkanlah niat kamu. Tajdidlah semula niat kamu, wahai anak kesayanganku.
Dan jangan lupa senyum.
Senyum.
Versi pembetulan. Senyum.